Penerima Waqaf Yang Ditentukan Meninggal Dunia
الجواب
Waqaf merupakan amalan sunat yang dilakukan sebagai qurbah iaitu bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah Ta‘ala. Pensyariatan waqaf dapat difahami daripada keumuman ayat al-Qur’an, firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: Kamu sekali-kali tidak akan dapat mencapai (hakikat) kebaktian (yang sempurna) hingga kamu menafkahkan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Dan apa sahaja yang kamu nafkahkan itu maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya. (Surah Âli Imran: 92)
Para sahabat Radhiallâhu ‘anhum setelah mendengar ayat ini, mereka yang mempunyai harta masing-masing bersegera melaksanakan waqaf. Antaranya Abu Thalhah Radhiallâhu ‘anhu, seorang hartawan dari golongan Anshar di Madinah yang mewaqafkan kebun kurma yang sangat disayanginya terletak berhadapan dengan Masjid an-Nabawi iaitu Bairuha’.
Satu keistimewaan yang diperolehi oleh pewaqaf ialah pahala yang berterusan sekalipun dia telah meninggal dunia. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallâhu ‘anhu, Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:
Maksudnya: Apabila seorang insan meninggal dunia, (pahala) amalannya terputus daripadanya melainkan (pahala) daripada tiga (perkara iaitu): (Pahala) daripada sedekah jâriah (waqaf) atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya (oleh orang lain) atau anak salih yang mendo‘akannya. (Hadits riwayat Muslim)
Selain itu, amalan berwaqaf itu juga memberi manfaat kepada penerima waqaf. Jika barang waqaf dikelola dengan baik, maka ia dapat memberi kesan yang baik dan faedah yang besar kepada kemashlahatan umat Islam. Apa yang dapat kita lihat sekarang ini, sudah banyak waqaf yang disumbangkan oleh orang ramai yang digunakan sebagai kemudahan awam antaranya tanah yang diwaqafkan untuk menjadi tapak masjid atau sekolah, kereta yang diwaqafkan untuk membawa jenazah, kerusi-kerusi roda untuk kegunaan pesakit di hospital dan sebagainya. Selain waqaf itu untuk kegunaan awam, ada kalanya juga waqaf itu dikhususkan untuk kegunaan orang-orang tertentu seperti waqaf rumah kepada orang tertentu.
Mengenai dengan penerima waqaf yang ditentukan ini, timbul persoalan apabila penerima waqaf yang ditentukan itu meninggal dunia, siapakah yang berhak memanfaatkan barang waqaf tersebut? Berikut penjelasan mengenainya.
Penerima waqaf yang ditentukan itu sama ada dia seorang individu atau satu kumpulan orang yang ditentukan secara khusus untuk memanfaatkan harta waqaf dengan menyebut nama atau sifat mereka. Sebagai contoh seseorang berlafaz waqaf dengan menyebut nama orang tertentu seperti: “Saya waqafkan rumah ini kepada Ahmad” atau dengan menyebut sekumpulan orang tertentu seperti: “Saya waqafkan rumah ini kepada Ahmad, Ali dan Hussin” atau seseorang berlafaz waqaf dengan menyebut sifat orang yang tertentu seperti: “Saya waqafkan rumah ini kepada anak-anak Ahmad yang fakir.”
Jika penerima yang ditentukan secara khusus meninggal dunia, maka orang yang berhak memanfaatkan barang waqaf seterusnya tertakluk kepada lafaz waqaf pewaqaf. Sekiranya pewaqaf ada menentukan orang tertentu untuk menerima waqaf setelah penerima awal yang ditentukan meninggal dunia, maka hak memanfaatkan harta waqaf berpindah kepada penerima seterusnya. Jika pewaqaf tidak menyatakan sedemikian, maka hak memanfaatkan harta waqaf itu berpindah kepada kerabat pewaqaf yang terdekat daripada dzawil arhâm yang fakir. Penjelasan perkara tersebut adalah seperti berikut:
1. Sekiranya pewaqaf berkata: “Saya waqafkan rumah ini kepada Ahmad kemudian kepada anaknya” dan pewaqaf tidak menyatakan lagi penerima waqaf seterusnya selepas mereka, maka apabila Ahmad meninggal dunia, penerima seterusnya ialah anak kepada Ahmad. Jika anaknya pula meninggal dunia, maka menurut pendapat al-azhhar, rumah tersebut kekal sebagai harta waqaf dan menurut pendapat al-ashah, penerima waqaf seterusnya ialah keluarga pewaqaf yang terdekat daripada dzawil arham yang fakir. Dzawil arhâm ialah keluarga yang tidak termasuk sebagai ahli waris seperti anak kepada anak perempuan, emak saudara, bapa saudara (sebelah ibu) dan anak bapa saudara (sebelah bapa). Mendahulukan keluarga yang terdekat dari kalangan dzawil arhâm adalah wajib. Sebagai contoh, mendahulukan anak lelaki kepada anak perempuan pewaqaf daripada anak lelaki kepada bapa saudara pewaqaf.
Sekiranya pewaqaf mewaqafkan sesuatu kepada dua orang penerima waqaf yang ditentukan dan tidak pula menyatakan penerima waqaf seterusnya selepas mereka berdua, sebagai contoh pewaqaf berkata: “Saya waqafkan rumah ini kepada kamu berdua (Ahmad dan Ali)”, maka jika Ahmad meninggal dunia, bahagian Ahmad itu tidak berpindah kepada dzawil arhâm pewaqaf akan tetapi berpindah kepada Ali. Jika kedua-duanya meninggal dunia, maka manfaat rumah itu berpindah kepada dzawil arhâm pewaqaf.
2. Sekiranya pewaqaf berkata: “Saya waqafkan rumah ini kepada anak-anak Ali kemudian kepada orang-orang fakir”, maka dalam keadaan ini, apabila anak-anak Ali semuanya meninggal dunia, maka penerima waqaf seterusnya ialah orang-orang fakir.
3. Sekiranya pewaqaf mewaqafkan rumah kepada dua orang penerima waqaf yang ditentukan kemudian kepada orang-orang fakir, sebagai contoh pewaqaf berkata: “Saya waqafkan rumah ini kepada kamu berdua (Ahmad dan Ali) kemudian kepada orang-orang fakir” maka sekiranya Ahmad meninggal dunia, menurut pendapat al-ashah, bahagian Ahmad berpindah kepada Ali bukan kepada orang-orang fakir kerana dari lafaz tersebut menunjukkan bahawa perpindahan manfaat rumah kepada orang-orang fakir adalah setelah kematian kedua-dua mereka. Oleh kerana salah seorang dari penerima waqaf masih hidup, maka manfaat rumah tersebut terhalang dari berpindah kepada orang-orang fakir.
4. Sekiranya pewaqaf mewaqafkan rumah kepada dua orang penerima waqaf yang ditentukan dan membahagikan rumah tersebut kepada dua bahagian seperti tingkat bawah untuk penerima waqaf pertama dan tingkat atas untuk penerima waqaf kedua. Kemudian pewaqaf menyatakan lagi penerima seterusnya. Sebagai contoh pewaqaf berkata: “Saya waqafkan rumah ini kepada Ahmad dan Ali, tingkat bawah untuk Ahmad dan tingkat atas untuk Ali, kemudian kepada orang-orang fakir”, maka waqaf tersebut menjadi dua waqaf. Jika Ahmad meninggal dunia, maka tingkat bawah rumah tersebut tidak berpindah kepada Ali akan tetapi berpindah kepada orang-orang fakir. Sekiranya selepas itu Ali pula meninggal dunia, maka manfaat rumah itu berpindah sepenuhnya kepada orang-orang fakir.
Walau bagaimanapun sekiranya pewaqaf berkata: “Saya waqafkan rumah ini kepada Ahmad dan Ali, tingkat bawah untuk Ahmad dan tingkat atas untuk Ali, kemudian selepas mereka berdua kepada orang-orang fakir”, maka jika Ahmad meninggal dunia, bahagiannya tidak berpindah kepada Ali dan tidak juga kepada orang-orang fakir tetapi bahagian Ahmad itu berpindah kepada dzawil arhâm pewaqaf yang fakir. Sekiranya selepas itu Ali pula meninggal dunia, maka manfaat rumah itu berpindah sepenuhnya kepada orang-orang fakir.
Demikian penjelasan mengenai dengan orang yang berhak menerima manfaat waqaf setelah penerima waqaf yang ditentukan meninggal dunia.
المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15856
دليل الألوان
