Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى البروناوية
🇧🇳الطهارة٠ مشاهدة

Cara Berkumur-Kumur Dan Istinsyâq Ketika Berwudhu’

الجواب

Berkumur-kumur dan memasukkan air ke hidung (istinsyâq) ketika berwudhu’ hukumnya adalah sunat kerana ittibâ‘ iaitu mengikut perbuatan Rasulullah Shallallâhu ‘alaihi wa sallam. Hikmah atau faedah mendahulukan wudhu’ dengan membasuh dua tangan sehingga pergelangan tangan, berkumur-kumur dan istinsyâq antaranya ialah supaya seseorang dapat mengetahui jika ada perubahan pada sifat-sifat air yang digunakannya itu melalui rasa, bau dan warna selain daripada mengetahui perkara tersebut dengan melihatnya.

Berkumur-kumur dilakukan selepas membasuh dua tangan sehingga pergelangan tangan. Manakala istinsyâq pula dilakukan selepas berkumur-kumur. Berkumur-kumur dan istinsyâq juga sunat dilakukan sebanyak tiga kali. Berkumur-kumur dan istinsyaq ketika berwudhu’ itu disebut dalam satu riwayat daripada ‘Amr bin ‘Abasah Radhiallâhu ‘anhumâ bahawa Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam bersabda:

Maksudnya: Tidaklah seseorang lelaki di antara kamu mendekatkan air untuk berwudhu’ lalu dia berkumur-kumur dan memasukkan air ke dalam hidung lalu dia menghembuskan (apa yang ada di dalam hidung) melainkan gugur dosa-dosa (kecil) mukanya, mulutnya dan khaisyûmnya (bahagian paling atas hidung). (Hadits riwayat Muslim)

Berkaitan dengan perbuatan berkumur-kumur dan istinsyâq ini, timbul kekeliruan orang ramai mengenai cara yang betul dalam melakukan kedua-duanya berikutan adanya dakwaan sebahagian orang bahawa cara berkumur-kumur dan istinsyâq yang betul itu ialah dengan mengambil satu cedokan air memenuhi tapak tangan kemudian berkumur-kumur sekali dan istinsyâq sekali, kemudian mengulanginya sehingga cukup tiga kali berkumur-kumur dan istinsyâq. Persoalannya adakah cara ini yang menepati sunat wudhu’? Berikut penjelasan mengenainya.

Berkumur-kumur ialah memasukkan air ke dalam mulut dan disunatkan mengambil air menggunakan tangan kanan. Sekurang-kurang berkumur-kumur itu ialah dengan memasukkan air ke dalam mulut walaupun tidak mengocak-ngocakkan air tersebut di dalam mulut dan walaupun tidak diluahkannya daripada mulut. Manakala berkumur-kumur yang sempurna (akmal) ialah sunat mengocak-ngocakkan air tersebut di dalam mulutnya kemudian meluahkannya.

Manakala istinsyâq pula ialah memasukkan air ke dalam hidung dan disunatkan menggunakan tangan kanan. Sekurang-kurang istinsyâq itu ialah dengan memasukkan air ke dalam hidung, walaupun orang yang berwudhu’ itu tidak menyedut air tersebut dengan nafasnya untuk memasukkan air ke dalam hidung atau walaupun setelah air masuk ke dalam hidungnya dia tidak menghembuskan air tersebut keluar dari hidungnya. Demikian juga, memadai istinsyâq jika air yang masuk ke hidung itu tidak sampai naik ke khaisyûm. Manakala istinsyâq yang sempurna ialah sunat memasukkan air ke dalam hidung dan menaikkan air tersebut dengan nafasnya sehingga ke khaisyûm, kemudian dia menghembuskan air tersebut keluar daripada hidung dengan nafasnya.

Istinsyâq yang sempurna itu termasuk melakukan istintsâr. Istintsâr ialah mengeluarkan apa yang ada di dalam hidung seperti menghembus air dan mengeluarkan kotoran dalam hidung setelah istinsyâq. Istintsâr sunat dilakukan menggunakan jari kelingking kiri.

Terdapat dua cara untuk melakukan berkumur-kumur dan istinsyâq ketika berwudhu’. Cara yang pertama ialah mengambil air yang berasingan untuk berkumur-kumur dan istinsyâq. Cara pertama ini adalah berdasarkan riwayat Thalhah bin Musharrif daripada bapanya daripada datuknya Radhiallâhu ‘anhu mengenai wudhu’ Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam katanya.

Maksudnya: Maka aku melihatnya (Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berwudhu’) memisahkan antara (cedokan air untuk) berkumur-kumur dan (cedokan air untuk) istinsyâq. (Hadits riwayat Abu Daud)

Cara yang kedua ialah mengambil satu cedokan air untuk berkumur-kumur dan istinsyâq. Menurut Imam Nawawi Rahimahullâh mengambil satu cedokan air untuk berkumur-kumur dan istinsyâq adalah afdhal berbanding mengambil air yang berasingan untuk berkumur-kumur dan istinsyâq berdasarkan beberapa hadits antaranya riwayat ‘Abdullah bin Zaid Radhiallâhu ‘anhu mengenai cara wudhu’ Nabi Shallallâhu ‘alaihi wa sallam ketika berkumur-kumur dan istinsyâq menggunakan satu cedokan air untuk kedua-duanya.

Maksudnya: Kemudian Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam berkumur-kumur dan istinsyâq dari satu tapak tangan (satu cedokan air) kemudian Baginda Shallallâhu ‘alaihi wa sallam melakukan yang demikian itu sebanyak tiga kali. (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim) Sungguhpun demikian, kedua-dua cara berkumur-kumur dan istinsyâq yang disebutkan di atas adalah boleh dilakukan dan kedua-duanya menepati sunat wudhu’. Perbezaan antara kedua-duanya hanyalah dari sudut cara yang afdhal melakukannya. Namun untuk melaksanakan kedua-dua cara ini, ia mempunyai kaifiyyah yang tersendiri iaitu:

Cara Pertama: Mengambil air yang berasingan untuk berkumur-kumur dan istinsyâq

Terdapat tiga kaifiyyah bagi melaksanakan cara yang pertama ini iaitu:

Kaifiyyah pertama:

• Mengambil satu cedok air untuk berkumur-kumur tiga kali berturut-turut. • Kemudian mengambil satu cedok air yang lain untuk istinsyâq tiga kali berturut-turut.

Kaifiyyah kedua:

• Mengambil satu cedok air untuk berkumur-kumur bagi kali pertama. • Kemudian mengambil satu cedok air yang lain untuk berkumur-kumur bagi kali kedua. • Kemudian mengambil satu cedok air yang lain untuk berkumur-kumur bagi kali ketiga. • Kemudian mengambil satu cedok air yang lain untuk istinsyâq bagi kali pertama. • Kemudian mengambil satu cedok air yang lain untuk istinsyâq bagi kali kedua. • Kemudian mengambil satu cedok air yang lain untuk istinsyâq bagi kali ketiga.

Kaifiyyah ketiga:

• Mengambil satu cedok air untuk berkumur-kumur bagi kali pertama.

• Kemudian mengambil satu cedok air yang lain untuk istinsyâq bagi kali pertama. • Kemudian mengambil satu cedok air yang lain untuk berkumur-kumur bagi kali kedua. • Kemudian mengambil satu cedok air yang lain untuk istinsyâq bagi kali kedua. • Kemudian mengambil satu cedok air yang lain untuk berkumur-kumur bagi kali ketiga. • Kemudian mengambil satu cedok air yang lain untuk istinsyâq bagi kali ketiga.

Menurut Imam Ibn Hajar Rahimahullâh kaifiyyah yang afdhal antara ketiga-tiga kaifiyyah ini adalah kaifiyyah yang pertama dan menurutnya lagi, kaifiyyah kedua pula merupakan kaifiyyah yang paling bersih.

Cara Kedua: Mengambil satu cedokan air untuk berkumur-kumur dan istinsyâq

Untuk melaksanakan cara yang kedua ini terdapat juga tiga kaifiyyah iaitu:

Kaifiyyah pertama:

• Mengambil satu cedok air untuk berkumur-kumur yang pertama dengan sebahagian air cedokan ini. Setelah itu istinsyâq yang pertama dengan baki air daripada cedokan pertama setelah berkumur-kumur.

• Kemudian mengambil satu cedok air yang lain untuk berkumur-kumur yang kedua dengan sebahagian air cedokan ini. Setelah itu istinsyâq yang kedua dengan baki air daripada cedokan kedua setelah berkumur-kumur.

• Kemudian mengambil satu cedok air yang lain untuk berkumur-kumur yang ketiga dengan sebahagian air cedokan ini. Setelah itu istinsyâq yang ketiga dengan baki air daripada cedokan ketiga setelah berkumur-kumur.

Kaifiyyah kedua:

Mengambil satu cedok air sahaja untuk berkumur-kumur tiga kali berturut-turut dengan sebahagian air cedokan ini. Setelah itu istinsyâq tiga kali berturut-turut dengan baki air daripada cedokan ini setelah berkumur-kumur.

Kaifiyyah ketiga:

Mengambil satu cedok air sahaja untuk berkumur-kumur yang pertama dengan sebahagian air cedokan ini. Setelah itu istinsyâq yang pertama dengan baki air daripada cedokan ini. Kemudian mengulangi berkumur-kumur untuk kali kedua. Setelah itu istinsyâq untuk kali kedua dengan baki air. Kemudian mengulangi berkumur-kumur untuk kali ketiga dan kemudian istinsyâq untuk kali ketiga dengan baki air.

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullâh dalam kitabnya Minhâj ath-Thâlibîn, kaifiyyah yang afdhal antara ketiga-tiga kaifiyyah ini adalah kaifiyyah yang pertama.

Demikian penjelasan mengenai cara berkumur-kumur dan istinsyâq ketika berwudhu’.

المصدر: Jabatan Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam· رقم irsyad-15860

دليل الألوان

آية قرآنيةحديث شريفنص فقهي من كتب العلماءرد اللجنة (المرجع الأساسي للفتوى)رقمرابط لفتوى أخرى مذكورة في النص