FATWA HUKUM PEMBIAYAAN MIKRO DENGAN MENGGUNAKAN DANA ZAKAT SECARA QARD
Sel. P.U. 3. 8hb Januari 2025
ENAKMEN PENTADBIRAN AGAMA ISLAM (NEGERI SELANGOR) 2003
FATWA DI BAWAH SEKSYEN 47
MENURUT seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 [Enakmen No. 1 tahun 2003], Jawatankuasa Fatwa bagi Negeri Selangor, atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan, menyediakan pernyataan sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual sebagai fatwa dan disiarkan menurut subseksyen 48(6) Enakmen itu. JADUAL
FATWA HUKUM PEMBIAYAAN MIKRO DENGAN MENGGUNAKAN DANA ZAKAT SECARA QARD 1. Pengagihan zakat secara pembiayaan mikro di Negeri Selangor oleh mana-mana pihak yang diberikan wakalah agihan oleh Lembaga Zakat Selangor (“LZS”) adalah harus dilaksanakan menurut hukum syarak.
2. Mana-mana pihak yang ingin melaksanakan pembiayaan mikro hendaklah—
(a) menunaikan keseluruhan jumlah zakat yang diperuntukkan untuk Negeri Selangor kepada pihak LZS terlebih dahulu; dan
(b) membuat permohonan wakalah agihan bagi melaksanakan agihan daripada pihak LZS berdasarkan terma dan syarat-syarat yang ditetapkan.
3. Bagi tujuan pelaksanaan pembiayaan mikro, mana-mana pihak yang telah memenuhi perenggan 2 hendaklah—
(a) memastikan penerima pembiayaan mikro memenuhi kriteria asnaf fakir atau miskin yang telah ditetapkan oleh LZS atau pihak berkuasa agama negeri;
(b) memastikan pembiayaan mikro daripada sumber wakalah agihan diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin dalam tempoh satu (1) tahun selepas penerimaan dana zakat melalui wakalah;
(c) memastikan wang bayaran semula yang dipulangkan oleh asnaf fakir dan miskin diagihkan kepada asnaf fakir dan miskin yang lain dalam tempoh satu (1) tahun selepas penerimaan bayaran semula; dan
(d) dana zakat melalui wakalah bagi tujuan pembiayaan mikro ini hendaklah disempurnakan agihannya secara zat dalam tempoh tiga (3) tahun selepas penerimaan dana zakat melalui wakalah.
4. Mana-mana pihak yang telah diberikan wakalah agihan oleh LZS dan melaksanakan pembiayaan mikro tidak boleh—
(a) mengenakan apa-apa penalti terhadap asnaf yang menerima pembiayaan mikro tersebut; dan
(b) menerima apa-apa keuntungan yang terhasil daripada pembiayaan mikro tersebut.
Bertarikh 20 Disember 2024 [MAIS//BUU/600-6/1/28; P.U.SEL. PS.05/4/12]
Dengan Titah Perintah
DATO’ SETIA PROF. MADYA DR. HAJI ANHAR BIN HAJI OPIR Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Selangor
المصدر: Jabatan Mufti Negeri Selangor· رقم selangor-10633
