Fatwa Berkenaan Hukum Pengambilan Vaksin Mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan Daripada Perspektif Islam
AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1993 FATWA DI BAWAH SEKSYEN 34
MENURUT subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], Mufti, setelah berbincang dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak menurut subseksyen 37(5) Akta, membuat fatwa sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual.
ADMINISTRATION OF ISLAMIC LAW (FEDERAL TERRITORIES) ACT 1993 FATWA UNDER SECTION 34
PURSUANT to subsection 34(1) of the Administration of Islamic Law (Federal Territories) Act 1993 [Act 505], the Mufti, after having discussed with the Islamic Legal Consultative Committee pursuant to subsection 37(5) of the Act, makes the fatwa as set out in the Schedule.
JADUAL/SCHEDULE FATWA BERKENAAN HUKUM PENGAMBILAN VAKSIN MENGIKUT JADUAL IMUNISASI KEBANGSAAN DARIPADA PERSPEKTIF ISLAM
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-114 yang bersidang pada 21 Februari 2019 telah membincangkan perkara berkenaan dengan Hukum Pengambilan Vaksin Mengikut Jadual Imunisasi Kebangsaan daripada Perspektif Islam. Fatwanya adalah seperti yang berikut:
1. Ibu, bapa atau penjaga bertanggungjawab untuk memastikan anak atau anak jagaan mereka diberikan vaksin berjadual mengikut Program Imunisasi Kebangsaan oleh Kerajaan.
2. Tanggungjawab ini berdasarkan tuntutan maqasid syariah untuk mengelakkan penyakit berjangkit yang berbahaya dan menjaga nyawa (hifz al-nafs). Hal ini bertepatan dengan Kaedah Fiqh “Polisi pemerintah tertakluk kepada kemaslahatan rakyat”.
3. Walau apa pun perenggan 1, tanggungjawab ibu, bapa atau penjaga tidak terpakai dalam hal anak atau anak jagaan mereka tergolong dalam kalangan orang yang mengalami masalah kesihatan dan boleh dikecualikan daripada menerima vaksin setelah mendapat pengesahan pakar perubatan.
Bertarikh 26 Oktober 2022 Dated 26 October 2022 [PMWP/100/20 Klt. 5; PN(PU2)530/JLD. 16]
DATUK DR. LUQMAN BIN HAJI ABDULLAH Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan/ Mufti for the Federal Territories
المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-2022-9bf23347
