Penetapan Kadar Nisab Zakat Emas Simpanan Berasaskan Kepada Perbezaan Tahap Ketulenan Emas
KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA PERUNDINGAN HUKUM SYARAK WILAYAH PERSEKUTUAN PENETAPAN KADAR NISAB ZAKAT EMAS SIMPANAN BERASASKAN KEPADA PERBEZAAN TAHAP KETULENAN EMAS
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-129 yang bersidang pada 27 April 2021 telah membincangkan perkara berkenaan Penetapam Kadar Nisab Zakat Emas Simpanan Berasaskan Kepada Perbezaan Tahap Ketulenan Emas. Fatwanya adalah seperti yang berikut: 1- Bersetuju untuk menetapkan kadar nisab emas simpanan berdasarkan kepada ketulenan emas kerana ia lebih menepati realiti emas dan nilai sebenar emas selaras dengan pendapat mazhab Syafie dan jumhur mazhab lain.
2- Emas 999 dan 995 adalah emas tulen (khalis) dan nisab bagi keduanya ialah 85 gram selaras dengan pemakaian standard antarabangsa untuk emas pelaburan Good Delivery di London Bullion Metal Exchange. Kadar 85 gram pula ditetapkan berasaskan pendapat majoriti ulama bahawa nisab emas adalah 20 dinar. Manakala kadar bagi 1 dinar dalam gram pula ditetapkan bersamaan dengan 4.25 gram. Pendapat ini berasaskan konsep berhati-hati dalam melepaskan tanggungjawab (ihtiyat bara’ah al-zimmah) dan juga berasaskan standard dinar antarabangsa masa kini.
3- Selain emas 999 dan 995, nisab zakat adalah mengikut timbangan sebenar ketulenan emas.
4- Berikut ialah nilai nisab bagi setiap kategori ketulenan emas:
KADAR KETULENAN EMAS NILAI NISAB 24k / 999 / 995 85g 965 88.08g 23k / 950 89.47g 22k / 916 92.79g 21k / 875 97.14g 20k / 835 101.79g Paun 107.59g 18k / 750 113.33g 14k / 585 145.20g 9k / 375 226.66g
5- Harga emas boleh ditentukan secara pentadbiran dengan mengambil kira harga Kijang Emas Maybank sebagai penanda aras.
MJKPHSWP Kali Ke-129/2021 Bertarikh: 27 April 2021 PROF. MADYA DATUK DR. LUQMAN BIN HAJI ABDULLAH Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan
المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-2021-b8050ee9
