Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى الماليزية
🇲🇾الزكاة والصدقات

Fatwa Berkenaan Dengan Hukum Dan Kaedah Taksiran Zakat Ke Atas Skim Pengeluaran Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Kwsp)

AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1993 FATWA DI BAWAH SEKSYEN 34

MENURUT subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], Mufti, setelah berbincang dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak menurut subseksyen 37(5) Akta, membuat fatwa sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual.

ADMINISTRATION OF ISLAMIC LAW (FEDERAL TERRITORIES) ACT 1993 FATWA UNDER SECTION 34

PURSUANT to subsection 34(1) of the Administration of Islamic Law (Federal Territories) Act 1993 [Act 505], the Mufti, after having discussed with the Islamic Legal Consultative Committee pursuant to subsection 37(5) of the Act, makes the fatwa as set out in the Schedule.

JADUAL/SCHEDULE

FATWA BERKENAAN DENGAN HUKUM DAN KAEDAH TAKSIRAN ZAKAT KE ATAS SKIM PENGELUARAN CARUMAN KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-120 yang bersidang pada 1 November 2019 telah membincangkan perkara berkenaan dengan Hukum dan Kaedah Taksiran Zakat ke atas Skim Pengeluaran Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Fatwanya adalah seperti yang berikut:

1. Pengeluaran simpanan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang telah memenuhi syarat milk al-taam dan bukan bagi tujuan perbelanjaan hajah asliyah diwajibkan zakat ke atas keseluruhan amaun caruman yang dikeluarkan pada kadar dua perpuluhan lima peratus (2.5%), tertakluk kepada nisab dan tanpa perlu menunggu haul.

2. Simpanan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang telah memenuhi syarat milk al-taam tetapi caruman tidak dikeluarkan, keseluruhan amaun caruman yang layak dikeluarkan daripada simpanan caruman itu diwajibkan zakat pada kadar dua perpuluhan lima peratus (2.5%), tertakluk kepada nisab dan tanpa menunggu haul.

3. Simpanan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang telah memenuhi syarat milk al-taam tetapi caruman tidak dikeluarkan sehingga cukup haul dan nisab, keseluruhan amaun caruman yang layak dikeluarkan daripada simpanan caruman itu diwajibkan zakat pada kadar dua perpuluhan lima peratus (2.5%).

4. Pengeluaran simpanan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang telah memenuhi syarat milk al-taam dan bagi tujuan perbelanjaan hajah asliyah tidak diwajibkan zakat.

5. Bagi maksud Fatwa ini—

(a) “hajah asliyah” ertinya keperluan asas yang amat diperlukan oleh seseorang dalam kehidupan seperti tempat tinggal dan makanan; dan

(b) “milk al-taam” ertinya pemilikan seseorang ke atas simpanan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang boleh dikeluarkan dan boleh digunakan secara bebas (haq tasarruf al-kamil).

Bertarikh 16 November 2020 Dated 16 November 2020 [PMWP/100/20 Klt. 5; PN(PU2)530/XIII]

DR. LUQMAN BIN HAJI ABDULLAH Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan/ Mufti for the Federal Territories

المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-2020-9135f46c