Fatwa Berkenaan Dengan Hukum Menggunakan Implan Rawatan Galukoma Yang Diperbuat Daripada Gelatin Khinzir
AKTA PENTADBIRAN UNDANG-UNDANG ISLAM (WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN) 1993 FATWA DI BAWAH SEKSYEN 34
MENURUT subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], Mufti, setelah berbincang dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak menurut subseksyen 37(5) Akta, membuat fatwa sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual.
ADMINISTRATION OF ISLAMIC LAW (FEDERAL TERRITORIES) ACT 1993 FATWA UNDER SECTION 34
PURSUANT to subsection 34(1) of the Administration of Islamic Law (Federal Territories) Act 1993 [Act 505], the Mufti, after having discussed with the Islamic Legal Consultative Committee pursuant to subsection 37(5) of the Act, makes the fatwa as set out in the Schedule.
JADUAL/SCHEDULE
FATWA BERKENAAN DENGAN HUKUM MENGGUNAKAN IMPLAN RAWATAN GLAUKOMA YANG DIBUAT DARIPADA GELATIN KHINZIR
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-120 yang bersidang pada 1 November 2019 telah membincangkan perkara berkenaan dengan hukum menggunakan implan rawatan glaukoma yang dibuat daripada gelatin khinzir. Fatwanya adalah seperti yang berikut:
1. Penggunaan implan rawatan glaukoma yang dibuat daripada gelatin khinzir adalah harus dan termasuk dalam kategori darurat jika— (a) penggunaan implan yang dibuat daripada gelatin khinzir adalah dibuktikan lebih berkesan berbanding dengan penggunaan gelatin atau bahan alternatif lain yang dibuat daripada bahan yang suci; atau
(b) tiada gelatin atau bahan alternatif lain yang dibuat daripada bahan yang suci boleh digunakan untuk membuat implan itu.
2. Nasihat daripada pakar perubatan hendaklah diperoleh terlebih dahulu sebelum menggunakan implan yang dibuat daripada gelatin khinzir.
3. Implan yang dibuat daripada gelatin khinzir yang sedang digunakan oleh seseorang wajib dibuang sekiranya terdapat implan yang dibuat daripada gelatin atau bahan alternatif lain yang suci selagi ia tidak mendatangkan mudarat kepada pesakit.
4. Orang yang menggunakan implan yang dibuat daripada gelatin khinzir kerana darurat dikategorikan sebagai berada dalam keadaan uzur syarie. Oleh itu, solat yang didirikannya semasa memakai implan yang dibuat daripada gelatin khinzir adalah sah dan tidak perlu diulang selepas implan tersebut dibuang.
Bertarikh 16 November 2020 Dated 16 November 2020 [PMWP/100/20 Klt. 5; PN(PU2)530/XIII]
DR. LUQMAN BIN HAJI ABDULLAH Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan/ Mufti for the Federal Territories
المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-2020-209acf78
