Islamic MixIslamic Mix
‹ الفتاوى الماليزية
🇲🇾العقيدة

Fatwa Berkenaan Dengan Ajaran Hizbut Tahrir

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah- Wilayah Persekutuan Kali ke-107 yang bersidang pada 5 April 2018 telah membincangkan perkara berkenaan dengan ajaran Hizbut Tahrir. Fatwanya adalah seperti yang berikut:

1. Ajaran Hizbut Tahrir adalah menyeleweng daripada ajaran Islam. Ciri-ciri penyelewengannya termasuklah:

(a) mendakwa bahawa kesemua pemerintah, ahli parlimen dan para ulama yang beragama Islam adalah kafir dan harus diperangi kerana mereka menerima sistem pemerintahan yang tidak berlandaskan undang-undang Islam dengan sepenuhnya;

(b) mendakwa bahawa negara-negara Islam semuanya negara kafir kerana berhukum dengan sistem pemerintahan yang tidak berlandaskan undang-undang Islam dengan sepenuhnya dan haram bagi mana-mana orang menyertai sistem pemerintahan kerajaan;

(c) berpegang kepada fahaman Qadariyyah yang menafikan konsep “al-Qadha’ wa al-Qadar” yang memisahkan perbuatan manusia (ikhtiyari) dengan ketentuan Allah;

(d) menolak sumber daripada hadis Ahad yang berkaitan dengan aqidah, contohnya peristiwa Isra’ Mikraj dan azab kubur.

2. Mana-mana orang hendaklah menjauhi ajaran sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1 dan dilarang daripada berpegang pada, mempercayai, mengajar, menyebarkan atau mengamalkannya. Mana-mana orang yang berpegang pada, mempercayai, mengajar, menyebarkan atau mengamalkan ajaran sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1 hendaklah bertaubat.

3. Tiada seorang pun boleh memiliki, menyimpan, mencetak, menjual, memuat naik, memuat turun, menyebarkan, mengedarkan, menggantungkan atau menerbitkan apa-apa poster, buku, majalah, risalah atau apa-apa bacaan lain sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dalam apa-apa jua bentuk keluaran atau ulangannya, termasuklah apa-apa filem, rakaman, audio visual, laman sesawang, media cetak atau media elektronik yang mengandungi ciri-ciri amalan dan ajaran sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan 1.

Bertarikh 09 Oktober 2019 Dated 9 October 2019 [PMWP/100/20 Klt.2; PN(PU2)530/XIII]

DATUK DR ZULKIFLI BIN MOHAMAD AL-BAKRI Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan

المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-2018-dd55682b