Fatwa Berkenaan Dengan Senaman Yoga Dan Perkara Yang Berkaitan Dengannya Dan Hukum Wanita Menyerupai Lelaki
[Fatwa Berkenaan Dengan Senaman Yoga1 dan Perkara Yang Berkaitan
Dengannya]
1 Perkataan Yoga berasal daripada bahasa Sanskrit dan ia mempunyai banyak pengertian. Yoga atau yuj bermaksud mengawal, menyambung, menyatu. Manakala dari segi istilah, bermaksud kesatuan, sambungan, atau penyatuan roh individu dan roh alam semesta. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga pula, terdapat dua makna kepada perkataan ini, iaitu:
Sistem falsafah Hindu yang bertujuan untuk menyatukan diri dengan tuhan dengan mengheningkan fikiran (seperti dengan bertafakur, dan sebagainya) melalui beberapa senaman gerak badan dan fikiran. Senaman – berbagai-bagai cara untuk mengheningkan (menenangkan) fikiran, seperti dengan bertafakur, terutama satu siri senaman gerak badan yang bertujuan mewujudkan keadaan badan dan fikiran yang sihat. (Lihat Kamus Dewan Edisi Ketiga, hlm. 1556)
Yoga disebut sebagai salah satu daripada enam falsafah Hindu. Ia bermaksud dan bertujuan untuk menyatukan diri dengan tuhan. Cara untuk penyatuan diri dengan tuhan itu terdapat dalam praktik yoga itu sendiri. (Lihat Integral Yoga oleh Haridas Chaudhuri, hlm. 21)
Yoga biasanya dipraktikkan oleh orang-orang Hindu dan amalan ini mempunyai kaitan rapat dengan agama mereka. Ia merupakan cara bagi mereka melepaskan diri dari lingkaran samsara (perpindahan jiwa dari suatu kehidupan ke penghidupan yang lain, melalui kelahiran semula) dan cara untuk bebas dari karma (hukum sebab dan akibat atas perbuatan seseorang, seperti kelahiran semula seseorang sama ada dalam keadaan baik atau buruk bergantung kepada tindakan-tindakannya yang terdahulu). Dengan itu juga mereka akan mencapai moksha (bebas dari lingkaran kelahiran semula). (Lihat Modern Yoga oleh Elizabeth De Michelis)
Menurut Raphael, apabila manusia terseleweng dan hubungannya dengan tuhan menjadi longgar, yoga adalah satu cara baginya untuk memperbaiki hubungan tersebut. Sekiranya yoga tersasar dari tujuan yang satu ini, ia bukanlah yoga yang sebenarnya. (Lihat Essence and Purpose of Yoga oleh Raphael, hlm. 13)
Yoga pada suatu ketika telah berkembang dengan begitu pesat sehingga menjadi fenomena global. Sampailah pada satu tahap, ia disifatkan bukan hanya sebagai satu tradisi untuk memperoleh kesihatan fizikal dan mental, tetapi telah menjadi satu bentuk dagangan yang memberi keuntungan lumayan kepada individu atau persatuan yang mengendalikan kelas dan latihannya. (Lihat Yoga in the Modern World oleh Mark Singleton dan Jean Byrne pada bahagian Introduction, hlm. 1)
(a) senaman yoga yang berasal daripada masyarakat Hindu sejak sebelum Masihi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan dan pemujaan bagi tujuan tertentu adalah haram menurut syariat Islam dan dilarang beramal dengannya.2
(b) apa-apa jua jenis atau bentuk senaman yang mengandungi unsur-unsur sebagaimana yang diyatakan dalam perenggan (a) adalah haram menurut syariat Islam dan dilarang orang Islam beramal dengannya.
2 Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 juga telah membincangkan berkenaan hal ini pada 22-24 Oktober 2008. Antara lain disebut: Muzakarah berpandangan dan berpendapat bahawa senaman Yoga yang berasal dari masyarakat Hindu sejak sebelum Masehi lagi yang menggabungkan amalan fizikal, unsur-unsur keagamaan, mantera dan pemujaan bagi tujuan tertentu seperti mendapatkan ketenangan dan kemuncaknya, penyatuan diri dengan tuhan atau tujuan-tujuan lain adalah tidak sesuai dan boleh merosakkan akidah seorang muslim.
Oleh itu, Muzakarah juga bersetuju dan memutuskan apa jua jenis atau bentuk amalan yang mengandungi unsur-unsur tersebut di atas adalah dilarang dan bertentangan dengan syariat Islam. Sementara pergerakan amalan fizikal tanpa unsur-unsur di atas yang dilakukan pada zahirnya tidaklah menjadi kesalahan. Namun demikian, masyarakat Islam dingatkan wajib berhati-hati dalam berwaspada dari perkara-perkara yang boleh menghakis akidah seseorang muslim. Seperti yang sedia maklum, perkara-perkara yang boleh menghakis akidah boleh berlaku dengan sebab-sebab berikut:
Kepercayaan atau keyakinan di hati. Menerusi perkataan atau pengakuan dengan lidah. Perbuatan.
Memandangkan terdapat dua elemen tersebut dalam amalan Yoga, maka umat Islam wajib memelihara akidah mereka dari terhakis. (Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia oleh JAKIM hlm. 30- 31)
Contoh yoga yang dilakukan.
(c) mana-mana orang tidak boleh memiliki, menyebarkan, mengedarkan atau menerbitkan apa-apa buku, majalah, risalah atau apa-apa bahan bacaan lain sama ada dicetak, ditaip, ditulis tangan atau dikeluarkan dengan apa-apa cara lain dan apa-apa bentuk keluaran ulangannya dan termasuklah apa-apa filem atau rakaman audio, khidmat pesanan ringkas dan e-mel yang berkaitan dengan amalan, pegangan dan fahaman sebagaimana yang dinyatakan dalam perenggan (a) dan (b). [Fatwa Berkenaan Dengan Wanita Menyerupai Lelaki]
Hukum bagi wanita Islam yang mempunyai penampilan atau mempunyai gerak laku seperti lelaki3 adalah haram di sisi Islam.
3 Wanita yang meniru gaya orang lelaki adalah dengan maksud meniru sama ada dari segi pakaian seperti memakai pakaian seperti lelaki, dari segi perwatakan seperti pergerakan yang kasar, berlagak sebagai lelaki, mencukur rambut kepala dan seumpamanya yang menjadi kebiasaan orang lelaki.Dalam istilah moden, wanita yang berlagak sebagai lelaki adalah lebih dikenali dengan gelaran pengkid. Istilah ini merujuk kepada perempuan yang berpakaian, berpenampilan dan berpewatakan seperti lelaki, dan mempunyai minat atau naluri seksual terhadap kaum sejenis. Mereka cuba untuk menonjolkan identiti jantina berlawanan dengan norma biologi, moral dan sosial kewanitaan yang mereka miliki.
Perbuatan wanita menyerupai lelaki atau berlagak sebagai lelaki adalah haram, bahkan berdosa besar berdasarkan dalil yang melaknat orang yang melakukannya.
Bertarikh 18 Mac 2009 [PMWP/100/20 Klt 2; PN(PU2)530/V]
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat lelaki yang meniru-niru gaya perempuan, dan perempuan yang meniru-meniru gaya lelaki.” Riwayat al-Bukhari (5885)
Begitu juga hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:
Maksudnya: “Nabi SAW melaknat lelaki yang berperangai pondan dan perempuan yang berperangai lelaki. Baginda bersabda, usirlah mereka dari rumah kamu.” Riwayat al-Bukhari (5886)
Manakala dalam hadith daripada Abi Hurairah R.A, katanya:
Maksudnya: Rasulullah SAW telah melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki. Riwayat Abu Daud (4098)
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Amru bin al-As R.A, beliau telah melihat Ummu Sa‘id binti Abu Jahal berjalan seperti seorang lelaki dengan pedang tersisip di pinggangnya. Lantas Abdullah berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Bukanlah daripada kalangan umatku perempuan meniru lelaki dan lelaki meniru perempuan.” Riwayat Ahmad (6875)
DATO’ HJ. WAN ZAHIDI BIN WAN TEH, Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan/ Mufti for the Federal Territories
المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-2009-2d801ddb
