Fatwa Berkenaan Kedudukan Harta Peninggalan Seorang Islam Yang Mati Tidak Meninggalkan Waris Dan Yang Meninggalkan Waris Tetapi Bukan Islam
KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA PERUNDINGAN HUKUM SYARAK WILAYAH PERSEKUTUAN
5/52/1999 01 JULAI 1999
KEDUDUKAN HARTA PENINGGALAN SEORANG ISLAM YANG MATI TIDAK MENINGGALKAN WARIS DAN YANG MENINGGALKAN WARIS TETAPI BUKAN ISLAM
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke 52/1999 yang bersidang pada 01 Julai 1999 telah memutuskan bahawa:
1. Seorang Islam (mualaf) yang meninggal dunia dan mempunyai harta pusaka semasa kematiannya, maka hukum faraid masih terpakai ke atas harta peninggalannya itu.
2. Seorang Islam (mualaf) yang meninggal dunia dan mempunyai harta pusaka tetapi tidak mempunyai waris, maka hartanya hendaklah diserahkan kepada baitulmal.
3. Seorang Islam (mualaf) yang meninggal dunia dan mempunyai harta pusaka serta meninggalkan waris yang tidak beragama Islam, maka waris itu tidak berhak mendapat pusaka harta peninggalannya.
4. Seorang Islam (mualaf) yang meninggal dunia dan meninggalkan waris (isteri) yang tidak beragama Islam, maka isterinya itu berhak mendapatkan harta sepencarian iaitu perolehan bersama dari mula berkahwin hingga tarikh ia memeluk Islam.
Bertarikh 01 Julai 1999 MJKPHSWP Kali ke 52/1999
DATUK HAJI MD. HASHIM BIN HAJI YAHYA Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan
المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-1999-1ad60563
