Fatwa Berkenaan Buku Bertajuk Risalah Tariqat Naqsyabandiah Jalan Ma'rifat Siri 1-6 Dan Pelantikan Syarikat Sebagai 'Amil
[Buku Bertajuk "Risalah Tariqat Naqsyabandiah Jalan Ma'rifat" Siri 1-6]
Bahawa buku yang bertajuk "Risalah Tariqat Naqsyabandiah Jalan Ma'rifat" dari Siri 1 hingga 6 yang disusun oleh Haji Yahya bin Laksamana1 adalah mengandungi ajaran yang bertentangan dengan 'aqidah dan syariah Islamiah serta mengelirukan umat Islam, oleh itu adalah diharamkan dan orang Islam adalah dilarang daripada memiliki, menyimpan, mencetak dan menjual buku tersebut dalam apa-apa bentuk bahan terbitan.
[Perlantikan Syarikat Sebagai 'Amil] 2
Adalah sah dari segi Hukum Syarak sesuatu syarikat yang diamanahkan oleh Majlis untuk memungut zakat dilantik sebagai amil dan kakitangan yang mengendalikan urusan pungutan zakat dalam syarikat tersebut hendaklah ditauliahkan sebagai amil.
Bertarikh pada 15hb Januari 1997 [JAWI/A/145; PN. (PU2) 530/II.]
1 Haji Yahya bin Laksamana atau nama sebenarnya Yahya bin Abdullah Sani. Beliau dilahirkan di Kampung Muara Rumbai, Rambah di Sumatera. Beliau telah mengambil bai’ah amalan tariqah ini dari Syaikh Muhammad Nor Sumatera iaitu salah seorang khalifah Syaikh Abdul Wahab Babus salam. Beliau telah berpindah ke Malaysia pada 1935 dan membuka penempatan di Taman Naqshbandi di Semenyih, Kajang pada 1970 dan memimpin pengamalan tariqah Naqshbandiyyah di sana. (Lihat Perkembangan Tariqah Naqshbandiyyah di Malaysia: Suatu Tinjauan Ringkas oleh Mohd Nasir Mohd Tap) 2 Maksud Amil ialah mereka yang terlibat secara langsung dengan institusi zakat samada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk pemungutan, agihan, urusan kewangan dan sebagainya. (Lihat web rasmi Pusat Pungutan Zakat MAIWP (PPZ MAIWP) pada bahagian Info Zakat [http://www.zakat.com.my/info-zakat/golongan-penerima-zakat/])
TAN SRI DATO’ ABDUL KADER BIN TALIP, Mufti, Wilayah-Wilayah Persekutuan
المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-1997-c094d9c8
