Fatwa Berkenaan Risalah Dan Ajaran Juruzon Bin Abd. Latif, Pembahagian Harta Pusaka Yatim Bin Ahmad Dan Pemujaan Dan Pembinaan Bangunan Di Tanah Perkuburan Islam Di Lot 3752 Bukit Kiara
[Risalah Dan Ajaran Juruzon Bin Abd. Latif]
Risalah dan Ajaran yang Disampaikan oleh Juruzon bin Abd. Latif1 atau dikenali juga
sebagai (Haji) Ahmad Al-Walidie (Pak Su)
i. Penyelewengan yang terdapat dalam risalah dan ajaran ini boleh membawa kepada kufur dan memecah belahkan masyarakat.
1 Ajaran Juruzon ini telah diasaskan oleh seorang yang bernama Juruzon Bin Abd. Latif atau lebih dikenali dengan panggilan Hj. Ahmad Al-Walidi atau Pak Su yang berasal daripada Jelebu, Negeri Sembilan. Beliau telah menubuhkan sebuah markas yang pertama untuk mengembangkan ajarannya di Jalan Pantai Dalam, Kuala Lumpur yang berselindung disebalik nama Madrasah Tarikat Al-Irdiah. Antara ajaran Juruzon ialah: Meyakini “guru ghaib” yang turun melalui badan Juruzon untuk memberi pengajaran dan arahan kepada ahli kumpulan agar patuh dengan kumpulan melalui “majlis Rabitah”. Juruzon mendakwa mempunyai bacaan Al-Quran tersendiri yang turun daripada arasy dengan bahasa Al-Quran tetapi bukan bahasa Arab. Amalan atau pegangannya yang bersifat menggamit kepada perlakuan salah laku seks. Klasifikasi mahram yang bertentangan dengan syarak. Amalan Anak Qadim pada amalan kumpulan ini dengan melukakan hujung jari sehingga mengeluarkan sedikit darah dan disentuhkan antara satu sama lain (ahli-ahli tertentu sahaja) akan menjadi hubungan di antara pengamal ini seperti adikberadik dan mahram iaitu halal bersalaman dan bersentuhan tanpa lapik atau bercium pipi di antara lelaki dan perempuan bukan mahram. Memanipulasikan kehendak dengan perkara luar jangkaan ahli. Juruzon mendakwa kononnya ada arahan daripada guru ghaib supaya membuat pinjaman atau menjadi penjamin semata-mata untuk memenuhi kehendak atau keperluan Juruzon termasuk bayaran kereta mewah, rumah banglo dan lain-lain. Juruzon mendakwa dapat berhubung dengan orang yang sudah meninggal dunia lebih-lebih lagi ibu bapa ahli. menurut beliau roh ibu bapa telah mewasiatkan supaya anaknya terus bersama kumpulan ini kerana jemaah ini adalah jemaah yang benar. Memutuskan hubungan kekeluargaan untuk melahirkan pengikut yang taksub. Ibu bapa yang keluar daripada kumpulan madrasah itu anak-anak mereka dihasut untuk membenci ibu bapa serta menghalang dan memisahkan daripada berjumpa dengan ibu bapa mereka sendiri. mereka yang keluar daripada kumpulan itu dicop sebagai pembelot dan pengkhianat agama. Juruzon mengancam mereka yang hendak keluar dengan menakutkan pelbagai malapetaka akan menimpa sesiapa yang keluar serta akan dihukum dengan sebatan atau yang setimpal dengannya. (Lihat Hukum Ajaran Juruzon Bin Abdul Latif @ Ahmad Walidie di laman rasmi Jabatan Mufti Negeri Selangor, Warta 2 Februrari 2012)
ii. Risalah dan ajaran ini diharamkan. iii. Risalah dan ajaran ini, haram dibaca, diajar dan diamalkan.
Pembahagian Harta Pusaka Allahyarham Yatim bin Ahmad
(i) Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak memutuskan bahawa harta pusaka Allahyarham Yatim bin Ahmad dibahagikan secara faraid seperti berikut:
Bil. Nama Waris Hubungan Pembahagian 1. Fatimah binti Idris Isteri 1 2. Eisah binti Hashim Isteri 1 3. Baitulmal 6 8 bahagian
(ii) Setelah usaha-usaha yang dibuat untuk mengesan waris-waris Allahyarham yang dinamakan dalam perenggan (i) menemui kebuntuan, maka Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak memutuskan bahawa dua bahagian daripada harta yang menjadi hak waris-waris tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal sebagai pemegang amanah. (iii) Jika waris-waris Allahyarham yang dinamakan dalam perenggan (i) atau waris-waris kepada waris-waris tersebut yang sah menuntutnya ditemui, maka pihak Baitulmal hendaklah menyerahkan semula kepada waris-waris yang berhak.
[Pemujaan dan Pembinaan Bangunan di Tanah Perkuburan Islam di Lot 3752 Bukit Kiara]
Pemujaan dan Pembinaan Bangunan di dalam Kawasan Tanah Perkuburan Islam di Lot 3752, Bukit Kiara, Damansara, Kuala Lumpur Warta Kerajaan No. 6444/1927 (i) Amalan khurafat2 yang dilakukan di dalam kawasan tanah perkuburan tersebut adalah haram dan hendaklah dihapuskan.
Tanah Perkuburan Islam di Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
2 Khurafat dalam masyarakat Melayu bermaksud kepercayaan yang karut, dongeng dan tahyul. (Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat, hlm. 784) Maksud khurafat dalam istilah bahasa Arab ialah cerita-cerita yang mempesonakan, yang dicampur adukkan dengan perkara dusta. (Lihat al-Mujam al-Wasit, 1/229) Dalam kamus al-Munjid fi al-Lughah wa al-A'lam (hlm. 175), khurafat (الخرافة) jama'nya khurafat (خرافات) ialah sebarang cerita yang sebenar-benar dusta. Syeikh Idris al-Marbawi mendefinisikan khurafat sebagai cerita yang karut marut. (Lihat Kamus Idris al-Marbawi, hlm. 169)
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula telah menyimpulkan khurafat sebagai semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran, pantang larang, adat istiadat, ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang daripada ajaran Islam. (Lihat Garis Panduan Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual Berhubung Dengan Unsur-Unsur yang Bercanggah dengan Akidah dan Amalan Ahli Sunnah wa al-Jamaah oleh JAKIM, hlm. 10)
Antara Ciri-ciri Khurafat dan Tahyul ialah: Cerita-cerita yang tidak didasarkan pada nas-nas syarak sama ada al-Quran atau al-Hadith. Cerita-cerita yang berunsur mitos dan lagenda, rekaan, dongeng, khayalan atau kepercayaan karut Cerita-cerita yang bersumberkan kepada kepercayaan lama dan adat yang bercanggah dengan Islam. Cerita-cerita yang berbentuk pemujaan dan permohonan kepada ‘makhluk halus’ bagi tujuan memudharatkan orang lain dan menyeleweng dari akidah Islam. Menggunakan objek-objek tertentu seperti kubur, pokok dan sebagainya bagi tujuan tertentu. Cerita-cerita yang mempunyai unsur-unsur negatif dari segi akidah dan syariat Islam. (Lihat Garis Panduan Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual Berhubung Dengan Unsur-Unsur yang Bercanggah dengan Akidah dan Amalan Ahli Sunnah wa al-Jamaah, hlm. 5-6) Hukum perkara-perkara khurafat yang bercanggah dan bertentangan dengan ajaran Islam adalah haram berdasarkan dalil-dalil al-Qur’an dan al-Sunnah.
(ii) Bangunan-bangunan yang dibina di dalam kawasan tanah perkuburan tersebut hendaklah dirobohkan. (iii) Kawasan tanah perkuburan tersebut hendaklah dikawal.
Bertarikh pada 21hb Ogos 1996 [JAWI/A/145; PN. (PU2) 530/II.]
TAN SRI DATO’ ABDUL KADER BIN TALIP, Mufti, Wilayah-Wilayah Persekutuan
المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-1996-95d6f719
