Masalah Pendaftaran Nama Dalam Kad Pengenalan Mengikut Hukum Syarak
KEPUTUSAN MESYUARAT JAWATANKUASA PERUNDINGAN HUKUM SYARAK WILAYAH PERSEKUTUAN
4/13/1982 23 Mac 1982
MASALAH PENDAFTARAN NAMA DALAM KAD PENGENALAN MENGIKUT HUKUM SYARAK
Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-13/1982 yang bersidang pada 23 Mac 1982 telah memutuskan bahawa:
1. Apabila seseorang Islam murtad seperti golongan Qodyani maka ia masih boleh menggunakan bin/binti. Keputusan ini diambil atas nasihat peguam negara yang menyatakan bahawa tiada undang-undang di negara ini yang mencegah seseorang untuk menggunakan bin/binti pada nama mereka.
2. Anak yang dijumpa terbiar atau anak pungut yang tidak diketahui asal-usulnya hendaklah dibin/bintikan Abdullah dan jika nama Abdullah bersamaan dengan nama orang yang memeliharanya anak itu, maka bolehlah dipilih menggunakan lain nama Amaul Husna seperti Abdul Rahman dan Abdul Rahim.
3. Anak luar nikah tidak boleh dibin/binti kepada ibu anak tersebut kerana ini mungkin boleh menimbulkan masalah sosial dan kesan psikologi kepada kanak-kanak itu. Oleh yang demikian, anak tersebut dibin/binti kepada Abdullah.
4. Bagi kanak-kanak bangsa Melayu yang semasa kecilnya di anak angkatkan oleh pasangan Islam dan dididik secara Islam dan apabila besar ia hendaklah menukar namanya kepada bukan Islam maka hukumnya adalah tidak dibolehkan oleh syarak.
5. Kanak-kanak dari pasangan bukan Islam yang di anak angkatkan oleh pasangan Islam dari semasa kecil (belum aqil baligh) kemudian dipelihara semula oleh pasangan bukan Islam setelah ibu angkatnya meninggal dunia.
Jika apabila dewasa kanak-kanak itu tidak lagi menganut agama Islam maka di sisi Islam ia adalah dianggap sebagai tidak beragama Islam.
6. Seseorang Melayu yang secara terbuka mengisytiharkan diri bukan lagi Islam dan datang ke Jabatan Pendaftaran Negara meminta menukar nama dalam kad pengenalan kerana mahu berkahwin dengan bukan Islam. Dalam hal ini pihak Jabatan Pendaftaran Negara adalah tidak menunaikan permintaan orang yang berkenaan kerana pengisytiharaan keluar daripada Islam tersebut mestilah disabitkan terlebih dahulu oleh Mahkamah Syariah, sedangkan pada masa ini Mahkamah Syariah belum lagi mempunyai bidang kuasa tersebut. Sekiranya orang tersebut bersekedudukan dengan orang bukan Islam dan akhirnya mendapat seorang anak, maka anak itu adalah anak luar nikah dan bin/binti adalah kepada Abdullah serta agama anak-anak itu adalah mengikut agama ibunya.
7. Seseorang yang bukan Islam yang masuk Islam adalah tidak boleh menukar nama keseluruhannya kepada nama Melayu atau Islam, contohnya Tan Soon Hai tidak boleh menggunakan nama Ahmad bin Abdullah, sepatutnya ialah Ahmad Tan Soon Hai atau Ahmad Tan bin Abdullah.
8. Sekiranya seseorang kanak-kanak yang ibunya Melayu Islam, bapanya seorang yang baru masuk Islam tetapi asalnya orang Cina bukan Islam, maka anak itu hendaklah dibin/bintikan kepada nama baru bapanya. Misalnya nama asal bapanya ialah Chong Hong Tai kemudian apabila memeluk Islam namanya ditukar kepada Umar Chong, oleh itu anak tersebut jika diberi nama misalnya Ahmad hendaklah dibinkan kepada Umar Chong.
9. Jika seseorang wanita bukan Islam menganut agama Islam dan berkahwin dengan seorang pemuda Islam serta menukar namanya kepada nama Islam di dalam kad pengenalan, apabila ia bercerai ia merujuk kepada agama asalnya dan telah mengaku murtad, maka wanita itu tidak boleh membuangkan nama Islamnya dari kad pengenalan kerana pengakuan murtadnya itu perlu disabitkan terlebih dahulu di Mahkamah Syariah sedangkan Mahkamah Syariah pada masa ini belum lagi mempunyai bidang kuasa tersebut.
10. Jika seseorang kanak-kanak Islam tidak diketahui asal-usulnya bolehlah dibin/bintikan kepada Abdullah atau lain-lain nama Asmaul Husna.
11. Jika seseorang perempuan Melayu Islam bersekedudukan dengan lelaki bukan Islam dan melahirkan beberapa orang anak, maka anak itu hendaklah dibin/bintikan Abdullah atau lain-lain nama Asmaul Husna.
Bertarikh 23 Mac 1982 MJKPHSWP Kali Ke-13/1982
TAN SRI DATO’ SHEIKH ABDUL MOHSEIN BIN HJ. SALLEH Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan
المصدر: Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan — e-Fatwa· رقم wpfatwa-1982-2432e20a
